NEWS UPDATE
Berdasarkan kepada fakta kes, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menerima aduan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Klang yang mendakwa bahawa Lim Wei Khim, seorang bankrap yang belum dilepaskan daripada kebankrapan telah bertindak sebagai pengarah syarikat Metro Hartamas Sdn Bhd. Tertuduh telah memegang jawatan pengarah sejak 3 Mei 2011 dan telah diisytiharkan bankrap pada 8 Mac 2012. Tertuduh dipercayai telah membabitkan diri dalam pengurusan syarikat dengan memegang jawatan sebagai pengarah antara 7 Mei 2012 hingga 6 Oktober 2015 dan menandatangani 11 dokumen syarikat berkenaan walaupun masih berstatus bankrap pada masa itu. Berdasarkan kepada fakta kes, tertuduh juga tidak pernah mendapat sebarang kebenaran mahkamah atau perintah pelepasan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia untuk bertindak sebagai pengarah bagi mana-mana syarikat selepas diisytiharkan bankrap. Berikutan itu, tertuduh telah dituduh dengan satu kesalahan di bawah Seksyen 125(1) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang memperuntukkan bahawa seorang bankrap yang belum dilepaskan tidak boleh bertindak sebagai pengarah syarikat atau mengambil bahagian dalam pengurusan secara langsung atau tidak langsung. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali. Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman denda RM20,000 setelah tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara tiga bulan. Tertuduh telah menjelaskan denda tersebut sejurus selepas prosiding berakhir. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Farieza Hazreen Salehuddin manakala tertuduh diwakili oleh peguam Zulfahami Abu Bakar daripada Tetuan Zul Bakar Chamber. Sabitan seumpama ini merupakan satu peringatan kepada orang awam bahawa tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikawalselia oleh SSM termasuklah kesalahan bertindak sebagai pengarah ketika masih berstatus bankrap yang belum dilepaskan. Ini bagi memastikan sikap tadbir urus korporat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 7 JUN 2022 |